Labels

Ahad, 25 November 2012

4 sawa jadi ‘pengapit’

AMPANG: Empat ular sawa mengiringi perarakan sepasang pengantin baru pada majlis persandingan mereka di Kondominium Tiara Ampang, Jalan Ampang, di sini, semalam.
Kehadiran binatang itu memberi kelainan pada majlis perkahwinan Mohd Azrif Mohd Tarmizi, 25, dan pasangannya, Azzilah Samat, 25.

Selain ular sawa, turut dibawa pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu ialah seekor burung kakak tua.
Semua binatang itu dibawa dari ladang pembiakan haiwan eksotik milik keluarga berkenaan di Pangsun, Hulu Langat.

Azzilah ketika ditemui berkata, dia sengaja memilih tema itu untuk diabadikan sebagai kenangan terindah sepanjang hayat malah suaminya diberitahu pada saat-saat akhir.

“Suami mulanya agak kekok dan geli dengan ular, tetapi selepas dipaksa, dia akhirnya akur dan mula memberanikan diri memegang ular.
“Saya bersyukur kerana semua yang dirancang berjalan lancar sekali gus akan dikenang sepanjang hayat kami,” katanya yang merancang berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu.

Sebelum itu, pasangan mempelai yang memilih konsep Inggeris dan perkahwinan dalam taman diarak sanak saudara serta teman diiringi paluan kompang kira-kira 500 meter memasuki dewan utama.
Mohd Azrif ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan takut dan gugup bila memegang ular buat pertama kali.

“Saya sebenarnya tak takut ular, tapi geli. Bagaimanapun lepas dipaksa isteri dan sanak saudara, saya beranikan diri untuk memegang serta lilit di leher.

“Ini pengalaman pertama dan ia sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar Azzilah, Suzana Ghazali berkata, binatang eksotik itu dibawa bagi memenuhi impian persandingan pasangan berkenaan.

“Sebenarnya kami memilih perkahwinan berkonsepkan dalam taman dan Inggeris, malah perancangan ini dibuat setahun lalu.

“Bagaimanapun, saat akhir dia (Azzilah) nak lain daripada lain dan kami sekeluarga cuba memenuhi impiannya dengan binatang eksotik yang ternyata diterima mereka,” katanya.

Suzana berkata, ular yang dibawa itu jenis Ular Sawa Afrika dan Ular Sawa Burma.

Sementara itu, majlis turut diserikan dengan tarian dan acara memotong kek.

Sumber: Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan